Sebuah tahun yang tidak pernah aku jangka.
Tahun ini terasa seperti tahun yang penuh dengan ujian.
Pada 14 April, aku terlibat dalam kemalangan yang agak teruk. Femoral neck fracture dan orbital floor fracture antara kecederaan yang paling serius aku alami. Hampir empat bulan aku tak dapat bekerja.
Motor kesayangan aku, SV650, pula akhirnya diisytiharkan total loss kerana kos untuk membaikinya lebih tinggi daripada harga motor itu sendiri.
Waktu tu, aku ingatkan itulah titik terendah dalam hidup aku untuk tahun ni.
Pada 4 Julai, abah pula diserang strok.
Pukul 5.22 pagi, sebelum Subuh, umi menghantar mesej dalam group WhatsApp keluarga. Umi sedang dalam perjalanan ke hospital kerana abah kena strok.
Aku masih ingat saat membaca mesej itu.
Hanya mampu berharap semuanya akan baik-baik saja.
Selepas pemeriksaan, doktor mendapati terdapat darah beku di bahagian otak abah, sebesar kira-kira 36cc. Umi membuat keputusan untuk tidak meneruskan pembedahan bagi membuang darah beku tersebut. Umi memilih untuk bergantung pada ubat pencair darah.
Sudah hampir dua bulan abah hanya terbaring di atas katil.
Dan sejujurnya, aku sangat sedih melihat keadaan abah sekarang.
Dulu abah yang menjaga aku.
Abah yang bekerja.
Abah yang bergerak ke sana sini.
Abah yang menguruskan banyak perkara untuk keluarga.
Sekarang, untuk bergerak pun abah perlukan bantuan.
Ada satu soalan yang selalu bermain dalam kepala aku.
Aku berdosa ke sebab tak dapat tolong abah?
Aku selalu tertanya-tanya, apa sebenarnya yang aku boleh buat?
Apa yang aku patut buat?
Aku nak tolong abah, tapi kadang-kadang aku sendiri tak tahu bagaimana.
Perasaan itu yang paling menyakitkan.
Helpless.
Rasa seperti melihat orang yang kita sayang sedang melalui sesuatu yang sangat berat, tetapi kita sendiri tidak mempunyai kuasa untuk mengubah keadaan.
Aku cuba untuk kuat. Cuba untuk teruskan hidup seperti biasa. Pergi kerja, balik kerja, buat apa yang perlu dibuat.
Tapi ada masa, ketika aku sedang menunggang motor, tiba-tiba air mata mengalir sendiri.
Tak ada apa-apa yang berlaku pada waktu itu.
Cuma teringat abah.
Teringat keadaan abah.
Dan hati aku terus jadi berat.
Mungkin tahun ini adalah antara tahun paling sukar dalam hidup aku.
Aku kehilangan motor.
Aku kehilangan hampir empat bulan kehidupan kerana kemalangan.
Dan sekarang, aku melihat seorang insan yang sejak kecil menjaga aku sedang terbaring sakit.
Aku tak tahu apa yang akan berlaku selepas ini.
Aku cuma tahu aku mahu terus berada di sisi abah selagi aku mampu.
Kalau aku tak mampu menyembuhkan abah, sekurang-kurangnya aku mahu abah tahu yang dia tidak keseorangan.
Aku mahu buat apa yang aku mampu.
Walaupun kecil.
Walaupun hanya duduk di sebelah katilnya.
Walaupun hanya pegang tangannya.
Walaupun hanya temankan abah dalam diam.
Terima kasih, umi dan abah.
Terima kasih sebab jaga aku sejak kecil.
Terima kasih sebab besarkan aku.
Dan terima kasih kerana sentiasa ada untuk aku, walaupun mungkin aku tak pernah cukup pandai untuk mengatakannya.
Terima kasih juga untuk isteriku, sebab sentiasa menjaga aku, terutama ketika aku melalui kemalangan dan masa-masa yang sukar. Terima kasih sebab tetap berada di sisi aku, membantu aku, dan memberi aku kekuatan ketika aku sendiri hampir tak mampu untuk terus kuat.
Kalau ini memang titik terendah dalam hidup aku, aku cuma berharap,
semoga selepas ini, perjalanan aku akan mula naik semula.
Dan semoga suatu hari nanti, aku dapat melihat abah tersenyum dan bangun semula.
Insya-Allah.
No comments:
Post a Comment