Hari ni birthday umi.
Entah kenapa, kali ni aku rasa sebak sedikit. Mungkin sebab tahun ni berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya. Baru beberapa hari lepas, abah pergi meninggalkan kami.
12 Oktober. Hari Isnin.
Aku masih ingat mesej WhatsApp daripada Yana yang masuk tepat pukul 13:13.
Sejak bekerja syif malam, waktu tengah hari memang waktu aku tidur. Tapi hari tu, sebelum tidur, lebih kurang pukul satu petang, aku sempat membaca Yasin dan sedekahkan untuk abah.
Aku tak ingat pukul berapa aku habis membaca Yasin. Tak lama selepas itu, mesej daripada Yana masuk.
Abah dah tak ada.
Aku tak tahu nak gambarkan perasaan aku ketika itu. Macam tak percaya. Macam sedang bermimpi. Aku termenung lama, seolah-olah fikiran aku belum mampu menerima apa yang baru sahaja aku baca.
Sampailah isteri aku masuk ke bilik, lebih kurang pukul 13:30, dan beritahu sendiri yang abah dah tak ada.
Menurut anggaran aku, abah mungkin menghembuskan nafas terakhir antara pukul 13:08 hingga 13:13. Aku tak tahu waktu yang tepat. Kadang-kadang aku terfikir, mungkin aku sempat menghabiskan bacaan Yasin sebelum abah pergi. Tapi aku tak akan pernah tahu dengan pasti.
Dan aku tak tahu kenapa, perkara itu masih bermain dalam fikiran aku.
Bila sampai di kampung, abah baru selesai dimandikan.
Pelik juga bila aku fikirkan semula. Aku tak menangis pun hari tu.
Aku ingat aku akan menangis. Atau sekurang-kurangnya, aku akan rasa sedih yang teramat sangat sampai tak mampu nak buat apa-apa.
Tapi tidak.
Apa yang aku rasa ketika itu lebih kepada kelegaan.
Mungkin sebab selama ini, aku tak sanggup tengok abah sakit. Melihat keadaan abah yang semakin lemah bukanlah sesuatu yang mudah untuk aku terima. Jadi, apabila abah akhirnya pergi, mungkin ada sebahagian daripada diri aku yang lega kerana abah tak perlu lagi menanggung kesakitan itu.
Aku tak tahu sama ada itu cara aku menerima kehilangan, atau fikiran aku masih belum benar-benar memproses apa yang berlaku.
Yang aku tahu, aku sayangkan abah.
Dan aku tak perlu menangis untuk membuktikannya.
Hari ni birthday umi.
Aku terfikir tentang umi. Bagaimana umi melalui hari-hari selepas pemergian abah. Bagaimana rasanya bangun setiap pagi dengan satu kenyataan baharu yang perlu diterima. Bagaimana rasanya meneruskan hidup apabila seseorang yang selama ini menjadi sebahagian daripada kehidupan kita sudah tiada.
Kami kehilangan seorang bapa.
Umi kehilangan seorang suami.
Aku tak berani nak kata aku faham apa yang umi rasa. Aku sendiri pun masih cuba memahami perasaan aku.
Tapi sempena hari lahir umi kali ni, aku cuma berharap Allah beri umi kesihatan yang baik, panjangkan umur umi dalam keberkatan dan kurniakan ketenangan hati untuk melalui hari-hari mendatang.
Semoga Allah merahmati abah, mengampunkan segala dosanya dan menempatkannya dalam kalangan orang yang beriman.
Selamat hari lahir, umi.
Tahun ni mungkin tak sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Ada satu tempat yang kini kosong, dan ada seseorang yang akan sentiasa kita rindui.
Tapi umi masih ada kami.
Dan kami masih ada umi.